DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Persidangan Dunia Ke-8 Mengenai Pemikiran dan Tamadun Islam Tahun 2026 (WCIT2026).
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusoff; Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Bertemakan 'Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan & Perpaduan dalam Islam', WCIT2026 pada tahun ini menjadi wadah untuk membincangkan peranan Islam dalam mendepani cabaran dunia yang semakin pesat berubah, sekaligus mengangkat martabat Islam sebagai agama yang membawa rahmat, kemuliaan dan perpaduan sejagat.
Persidangan ini menghimpunkan para ilmuwan serta cendekiawan dari serata dunia, antaranya Profesor Politik Arab Moden dan Sejarah Intelektual Universiti Columbia, Profesor Joseph A. Massad; Profesor Terbilang Kecerdasan Buatan dan Kemanusiaan Universiti CamTech, H.E. Profesor Kieth Rethy Chhem; serta Felo Bersekutu Kanan Institut Perkhidmatan Diraja United bagi Kajian Pertahanan dan Keselamatan United Kingdom, Dr. H. A. Hellyer.
Dalam titah perasmian tersebut, DYMM Tuanku menegaskan bahawa amanah dan integriti merupakan teras kepada tadbir urus negara yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh perpaduan ummah serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
"Dalam tradisi Islam, kuasa bukan suatu keistimewaan untuk dinikmati, sebaliknya amanah yang wajib dipikul dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT," titah DYMM Tuanku.
Mengakhiri titah, DYMM Tuanku menzahirkan harapan agar persidangan pada tahun ini menjadi wadah kepada ahli akademik, pembuat dasar dan pemimpin dunia Islam untuk merangka penyelesaian praktikal berteraskan nilai-nilai Islam dalam mendepani cabaran global, demi kesejahteraan, perpaduan dan kemajuan ummah.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak