Dalam usaha memperkukuh kedudukan Lumut sebagai bandar maritim utama negara, Kerajaan Negeri Perak menerima Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah di Pangkalan TLDM Lumut.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad daripada Panglima Armada Barat TLDM, YBhg. Laksamana Madya Dato' Baharudin bin Wan Md Nor.
Hadir sama ialah Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar Jajahan Manjung; Pegawai Daerah Manjung; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Dato’ Anuar Zainal Abidin.
Penyerahan ini sekaligus menjadi mercu tanda dan perjalanan baharu dalam usaha Kerajaan Negeri melalui MB Inc. Perak untuk memperkukuh warisan maritim negara di samping memelihara aspek sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti.
Projek yang dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 2027 ini akan merangkumi taman awam terbuka secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti, serta kemudahan bagi penganjuran program, pameran dan persidangan.
Memorial Muzium KD Hang Tuah akan menjadi tarikan penting di Lumut dan Manjung serta memperkukuh kedudukan Lumut, sekaligus merancakkan ekonomi setempat, memperluas peluang pendapatan dan membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.