Menteri Besar Incorporated (Perak) telah menerima jemputan khas untuk menghadiri Kuala Lumpur Men's Fashion Week, baru-baru ini.
Turut berangkat dalam majlis tersebut ialah YAM Tunku Dr. Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Puteri Johor.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Encik Abdul Halim bin Ali, Dato' Radzuan Radziwill, Bon Zainal Harun, Rasta Rashid, serta Pengarah Cura Batik, Encik Rizam Abd Rani.
Majlis pada tahun kedua berturut-turut ini menghimpunkan seramai 46 pereka fesyen terkemuka dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Kemboja bagi mengetengahkan keindahan seni fesyen lelaki serantau.
Antara barisan koleksi yang diketengahkan pada minggu berkenaan ialah hasil rekaan Radzuan Radziwill, Omar Ali, Batek by Rasta, Rizman Ruzaini dan lain-lain pereka fesyen terkemuka dalam dan luar negara.
Penglibatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MB Inc. Perak untuk mengangkat dan memperkasakan keunggulan Batik Perak di persada fesyen negara.
Kini, Cura Batik telah melangkah lebih jauh dengan terlibat secara aktif dalam aktiviti perdana rekaan fesyen bagi mengembangkan lagi identiti dan keunikan Batik Perak.