DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YDH CP Dato' Mohd Alwi bin Zainal Abidin, Ketua Polis Perak; Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor, Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Rosli bin Abu Bakar, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia.
Turut hadir, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormatan oleh DYMM Tuanku yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen.
Turut serta dalam detasmen perhimpunan seramai 280 orang pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seusai perbarisan, DYMM Tuanku berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet SUK yang diisi dengan persembahan pantomim bertajuk "Pahlawan", mengisahkan Operasi Subuh dalam insiden Al-Ma'unah di Sauk, Perak pada 6 Julai 2000.
Diharapkan sambutan ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi kini dan akan datang untuk menghayati semangat kepahlawanan serta nilai murni pengorbanan demi agama, bangsa dan tanah air.