DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Turut berkenan berangkat, DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Menteri Pendidikan Tinggi; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada majlis berkenaan, DYMM Tuanku berkenan menyempurnakan lafaz perasmian, diikuti gimik simbolik serta menandatangani plak sebagai tanda pelancaran rasmi, sebelum berkenan meninjau ruang pameran yang disediakan.
Dewan yang dibina semula di tapak asal ini mengetengahkan konsep 'Warisan dalam Kemodenan', gabungan ciri seni bina rumah kutai Melayu dengan kemudahan moden, sekaligus menobatkannya sebagai mercu tanda baharu Manjung.
Kemudahan moden yang lengkap dari segi keselesaan dan fungsi ini diharap dapat menampung pelbagai aktiviti masyarakat setempat, selaras dengan aspirasi menjadikan Manjung daerah yang terus berkembang maju dan progresif.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak