YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Negeri Perak Tahun 2026 "Belang Tarung Tiga Warna" di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Hadir sama ialah YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Menerusi temasya kali ini, Negeri Perak meneruskan misi Silver to Gold dengan menyasarkan 50 pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, di samping menyasarkan 25 pingat emas bagi Para SUKMA.
Sasaran 50 pingat emas bagi Kontinjen SUKMA Perak bukan sahaja berupaya meletakkan Negeri Perak dalam kelompok terbaik, malah berpotensi memecahkan rekod pencapaian negeri sebanyak 49 pingat emas yang dicatatkan pada SUKMA Sabah 2002.
Dalam majlis yang sama, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad turut menyempurnakan gimik penyerahan bendera kepada YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim selaku Ketua Kontinjen SUKMA Perak serta YBrs. Encik Muhammad Danial Azli, Presiden Sahabat Orang Kurang Upaya (OKU) Perak merangkap Ketua Kontinjen Para SUKMA Perak.
Sebagai Agensi Angkat yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri bagi sukan Muay Thai dan Sepak Takraw ke SUKMA XXII Selangor 2026, MB Inc. Perak sentiasa komited memikul tanggungjawab ini secara menyeluruh demi memastikan kontinjen Muay Thai dan Sepak Takraw negeri tampil cemerlang pada temasya kali ini.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak