Menteri Besar Incorporated (Perak) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. (TML) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Perniagaan MB Inc. Perak telah menganjurkan Hari Terbuka TML, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah TML, Ts. Haji Zul Helmi Ghazali; Penolong Pengurus Besar Jabatan Pembangunan Perniagaan MB Inc. Perak, Encik Anas Ady Yaacob; serta barisan pengurusan MB Inc. Perak dan TML.
Program dua hari tersebut bertujuan mengadakan sesi libat urus secara bersemuka dan menyeluruh dengan seluruh pihak berkepentingan syarikat, khususnya dalam kalangan pemain industri mineral.
Menerusi platform sedemikian, TML yang berkeupayaan menganalisis, mengenal pasti serta menentusahkan pelbagai kandungan mineral, khususnya REE, mampu terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab penyelidikan REE yang berdaya saing di peringkat negara.
Tambahan pula, penganugerahan akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 menjadi manifestasi kepada kecekapan dan komitmen TML dalam menyampaikan perkhidmatan analisis yang tepat, boleh dipercayai serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Diharapkan menerusi sesi Hari Terbuka seperti ini, TML mampu terus mengukuhkan peranannya sebagai makmal analisis REE yang berwibawa serta menyerlahkan kredibiliti Negeri Perak di mata negara mahupun antarabangsa.