Setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Muay Thai Negeri Perak atas kejayaan meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak, sekaligus menobatkan pasukan ini sebagai penyumbang pingat terbesar bagi Negeri Perak pada hari tersebut dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Turut hadir, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Ketua Kontinjen SUKMA Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Sorotan hari tersebut, sukan Muay Thai tampil sebagai penyumbang terbesar dengan tiga pingat emas menerusi Nurhuda Fakhira, Nur Bisyarah Altisha dan Rabiatul Adawiyah, di samping dua pingat perak yang diraih oleh Muhammad Ramadhani dan Raja Izaffudin Petra.
Nurhuda Fakhira tampil cemerlang apabila menewaskan wakil Wilayah Persekutuan dalam kategori 54-57 kg wanita. Nur Bisyarah Altisha pula mengatasi wakil Sabah dalam kategori 51-54 kg wanita. Manakala Rabiatul Adawiyah menundukkan wakil Sabah dalam kategori 45-48 kg wanita.
Muhammad Ramadhani sebaliknya akur kepada wakil Selangor dalam kategori 54-57 kg lelaki. Raja Izaffudin Petra pula tewas kepada wakil Wilayah Persekutuan dalam kategori 48-51 kg lelaki, yang merupakan pemegang pingat emas sebanyak tiga kali berturut-turut dalam SUKMA.
Kejayaan ini membuktikan kesungguhan serta semangat juang tinggi para atlet Muay Thai Perak yang tidak pernah gentar meniti setiap cabaran, sekaligus tahniah dan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih serta pasukan pengurusan atas sumbangan besar yang dicurahkan.
MB Inc. Perak yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri sebagai Agensi Angkat bagi sukan Muay Thai dan Sepak Takraw negeri akan terus komited menyumbang usaha ke arah kemajuan dan pembangunan sukan negeri.