DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Perak.
Turut berkenan berangkat DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Sambutan tahun ini bermula dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping.
Kawalan Kehormatan Utama itu terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, diketuai oleh Mejar Mohamad Izuan bin Mohamed.
Disaksikan lebih 50,000 warga Perak, majlis diserikan dengan persembahan koir gabungan tiga buah sekolah, diikuti persembahan muzikal anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.
Acara kemudiannya diteruskan dengan perbarisan lintas hormat yang melibatkan 5,884 peserta daripada 105 kontinjen, mewakili jabatan dan agensi kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta pihak berkuasa tempatan.
Semoga semangat patriotisme yang dipancarkan pada hari ini terus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan Negeri Perak.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak