YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak melancarkan Pavilion Negeri Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Hadir sama, YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; serta Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Membawa tema "Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan", MAHA 2026 menjadi wadah penting bagi Negeri Perak untuk mengetengahkan potensi dan keupayaannya dalam sektor pertanian, perikanan, agromakanan, keusahawanan serta agropelancongan.
Sejurus selepas pelancaran, majlis diteruskan dengan sesi lawatan ke pelbagai reruai pameran di Pavilion Perak bagi meninjau produk, hasil inovasi serta inisiatif yang diketengahkan oleh jabatan dan agensi negeri, di samping pemain industri berkaitan.
Pada program yang sama, MB Inc. Perak turut memainkan peranan aktif dengan mempromosikan khazanah Batik Perak yang menggabungkan warisan, kreativiti dan inovasi tekstil tempatan.
Sepanjang lawatan tersebut, YAB Menteri Besar Perak berkesempatan mencuba sendiri demonstrasi proses penghasilan Batik Perak menerusi teknik tanah liat, di samping mendapat penerangan mengenai inisiatif MB Inc. Perak dalam memperkukuh warisan seni negeri.
Penyertaan MB Inc. Perak di MAHA 2026 turut menjadi platform strategik untuk mempromosikan hasil dan produk Batik Perak, sekaligus membuka ruang yang lebih luas bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan meneroka peluang pasaran baharu.