DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa berkenan mencemar duli ke Pavilion Negeri Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Sepanjang majlis tersebut, DYTM Tuanku berkenan meluangkan masa mengunjungi reruai pameran setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, sekaligus meninjau pelbagai persembahan bertemakan pertanian, perikanan, kraf tangan, kebudayaan dan teknologi.
DYTM Tuanku turut berkenan singgah ke reruai MB Inc. Perak yang mengetengahkan khazanah warisan Batik Perak, sambil menerima sembah taklimat daripada wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak berhubung inisiatif memartabatkan Batik Perak.
Pada hari yang sama, Pavilion Perak turut menerima kunjungan hormat Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, bersama isteri, YM Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah.
Sehingga ke hari ini, Pavilion Perak kekal menjadi tumpuan pengunjung menerusi pengisian yang disusun secara menyeluruh, sekaligus menjadi wadah mengetengahkan produk tempatan, kreativiti usahawan, serta keunikan seni dan budaya negeri.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak & Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri