DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah berkenan mencemar duli ke Pavilion Negeri Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Sepanjang majlis tersebut, DYAM Tuanku berkenan meluangkan masa mengunjungi reruai pameran setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang menampilkan pelbagai pengisian meraikan seni, agro, keusahawanan, budaya dan pelancongan negeri.
DYAM Tuanku turut berkenan singgah ke reruai MB Inc. Perak yang mengetengahkan khazanah warisan Batik Perak, sekaligus berkenan mencuba demonstrasi penghasilan Batik Perak menerusi teknik tanah liat sambil menerima sembah taklimat daripada wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak.
DYAM Tuanku kemudiannya berkenan meninjau Pameran Lukisan Seniman Diraja Dato' Mohd Nor bin Khalid (Dato' Lat), Kartunis Malaysia, di Laman Amfiteater, sekaligus berpeluang menghayati karya dan kreativiti tokoh seni kelahiran Perak itu.
Genap lapan hari MAHA 2026 berlangsung, Pavilion Perak melabuhkan tirai dengan Simfoni Cahaya dan Laser serta kuiz pelancongan di Dataran Pavilion Perak, melengkapkan satu lagi hari yang sarat pelbagai aktiviti buat pengunjung.
Kredit Foto : Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri