DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Hospital Parit Buntar, Perak.
Turut berkenan berangkat, DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Datuk Seri Dr. Hj. Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan; YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Sepanjang majlis berlangsung, DYMM Tuanku berkenan menyempurnakan lafaz perasmian sebelum menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran, seterusnya berkenan melawat reruai pameran yang disediakan.
Hospital bernilai RM173.3 juta ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 170,000 penduduk di sekitar daerah Kerian, selain menepati kedudukan geografi yang strategik kerana bersempadan terus dengan Pulau Pinang dan Kedah.
Selain perkhidmatan kecemasan yang telah distruktur semula mengikut zon rawatan terkini, hospital ini turut menawarkan perkhidmatan sokongan klinikal yang menyeluruh, merangkumi klinik pakar, hemodialisis, pengimejan dan diagnostik, patologi dan transfusi, serta farmasi.
Pembangunan baharu ini, disokong kepakaran dalaman dan perubatan kecemasan hospital berkenaan, diharap dapat memperkukuh keupayaan fasiliti tersebut dalam memastikan masyarakat setempat memperoleh akses kepada perkhidmatan kepakaran yang sewajarnya.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak