TYT Naiyl M. Latypov, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, baru-baru ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak; Pegawai Daerah Hulu Perak; serta wakil delegasi Pejabat Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia.
Pertemuan tersebut menjadi platform pertukaran pandangan mengenai perkembangan geopolitik dunia, di samping meneroka potensi hubungan dua hala Perak-Rusia dalam bidang ekonomi, tenaga boleh baharu, industri halal, pelancongan dan teknologi pertanian.
Dalam kunjungan berkenaan, MB Inc. Perak yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya turut serta dalam perbincangan, khususnya untuk berkongsi hala tuju dan perkembangan semasa industri mineral negeri yang berpotensi sebagai destinasi pelaburan dan kerjasama antarabangsa.
Diharapkan menerusi pertemuan ini, jaringan antarabangsa Perak-Rusia dapat membuka lebih banyak ruang kepada kemasukan pelaburan, teknologi dan kepakaran, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak