YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak telah menyempurnakan Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Pasukan Sepak Takraw negeri, Perak Bison, yang berlangsung di Sentra Mall, Ipoh.
Turut hadir, YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh; YABhg. Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR); dan Encik Wan Mohd Kamarulhisham bin Wan Jusoh, wakil pengurusan kanan MB Inc. Perak.
Majlis ini mencerminkan semangat pembaharuan, tekad yang diperkasa dan aspirasi tinggi bagi memastikan Perak Bison terus mendominasi arena sepak takraw tempatan pada tahun ini.
MB Inc. Perak selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, kekal komited sebagai Rakan Strategik Perak Bison dalam mengangkat martabat sepak takraw negeri ke tahap yang lebih dinamik bagi setiap kejohanan sepanjang tahun ini.
Dalam majlis yang sama, YAB Menteri Besar Perak turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Kontrak Kerjasama antara Perak Bison yang diwakili oleh Encik Rizam Abd Rani, Pengurus Perak Bison dengan EFS Jersi.
Dengan terlaksananya majlis ini, Perak Bison kini bersiap sedia menempa sejarah gemilang dalam Liga Premier Sepak Takraw (STL) 2026 dan kejohanan lain, sekaligus membawa impian dan harapan seluruh rakyat Perak ke medan perjuangan.