Menteri Besar Incorporated (Perak) terus komited memperkasakan sektor pendidikan negeri dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM700,000 kepada 28,000 pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh Perak.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak yang turut menyaksikan penyampaian replika cek daripada Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak kepada Pengurus Besar Yayasan Perak.
Seramai 28,000 pelajar menerima bantuan makanan percuma bernilai RM5 sehari selama 25 hari menerusi inisiatif Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi memperkukuh persediaan mereka menghadapi peperiksaan awam tahun ini.
Sumbangan RM700,000 daripada MB Inc. Perak ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan RM3.91 juta yang disalurkan bagi melaksanakan bantuan makanan percuma tersebut kepada para pelajar calon di seluruh negeri.
Majlis yang sama turut diisi dengan Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana bagi Peperiksaan Awam 2026 Peringkat Negeri Perak sebagai ikhtiar rohani untuk mendoakan kejayaan dan kemudahan buat seluruh calon.
Memasuki tahun keenam pelaksanaan, inisiatif ini kekal menjadi intervensi penting dalam menjamin kesejahteraan calon dan diharapkan terus meningkatkan pencapaian peperiksaan awam negeri Perak pada tahun-tahun mendatang.