Menteri Besar Incorporated (Perak) merakamkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kecemerlangan operasi dan pematuhan piawaian antarabangsa menerusi penyertaan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML), anak syarikat milik penuhnya, dalam Standards & Accreditation Summit 2026 & Accreditation Certificate Handover Ceremony yang berlangsung pada 15 Oktober 2026.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan pakar industri dan agensi berkaitan bagi membincangkan kepentingan standardisasi, akreditasi serta infrastruktur kualiti negara dalam memperkukuh daya saing industri Malaysia.
Antara perkara utama yang diketengahkan termasuk penyelarasan piawaian Malaysia dengan kerangka antarabangsa, pendigitalan, tadbir urus kecerdasan buatan (AI), pematuhan keperluan akreditasi serta peluasan peluang perniagaan ke pasaran global.
Bagi TML, perkongsian ilmu dan perkembangan terkini berkaitan keperluan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) menjadi landasan penting untuk memastikan sistem pengurusan kualiti, kompetensi teknikal dan proses audit dalaman sentiasa memenuhi keperluan akreditasi yang berkuat kuasa.
Di samping itu, penerapan sistem digital dalam pengurusan dokumentasi, data dan kebolehkesanan analisis turut membuka ruang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan makmal.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan TML dalam mengekalkan standard perkhidmatan analisis yang tepat, konsisten dan boleh dipercayai, selaras dengan akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 yang telah diperoleh.
Usaha ini turut memperkukuh keyakinan pelanggan, menyokong pembangunan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan Negeri Perak sebagai pemain berdaya saing dalam sektor mineral nadir bumi (REE), di samping menyokong aspirasi negara ke arah kecemerlangan industri dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.