DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penyampaian Hadiah dan Santapan Tengah Hari Sempena Kejohanan Golf Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Siri 8 Tahun 2026, baru-baru ini.
Turut berkenan berangkat ialah DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.
Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan penyertaan 12 daerah di Perak, dengan setiap daerah menghantar dua pasukan yang diwajibkan menyenaraikan pemain berusia bawah 19 tahun.
Penganjuran ini bertujuan mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan pemain muda, memupuk semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pemain golf, di samping mengenal pasti bakat berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelapis skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Perak.
Dalam majlis yang sama, Menteri Besar Incorporated (Perak) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya turut menerima cenderamata berbentuk plak sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan kerjasama yang telah diberikan dalam menjayakan kejohanan golf ini.