YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak bersama delegasi Negeri Perak telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Memorial Kapal Perang Mikasa di Yokosuka, Jepun. Lawatan ini bertujuan meninjau amalan terbaik dalam pemeliharaan kapal bersejarah serta pembangunan tarikan pelancongan berasaskan warisan maritim.
Turut bersama delegasi, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; barisan pengurusan pentadbiran negeri; serta YBhg. Dato’ Anuar Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Perak menerusi MB Inc. Perak dalam melaksanakan Pelan Induk Kapal Diraja Hang Tuah (KDHT). Pelan ini menyasarkan transformasi KDHT menjadi Memorial Muzium KDHT yang menggabungkan pemuliharaan sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti dalam satu kerangka bersepadu.
Mikasa merupakan kapal perang pra-dreadnought yang telah dipelihara dan dibangunkan semula sebagai muzium interaktif. Kapal ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai salah satu daripada tiga kapal memorial perang utama dunia, sekaligus menjadikannya rujukan penting bagi projek pemuliharaan kapal tentera laut.
Sepanjang lawatan, delegasi meneliti pendekatan pengurusan Mikasa secara menyeluruh, merangkumi pemeliharaan warisan maritim, reka bentuk muzium yang berpaksikan pengalaman pengunjung serta pengurusan jangka panjang kapal tentera laut yang telah dilucutkan tauliah.
Tumpuan turut diberikan kepada strategi mentransformasikan kapal bersejarah menjadi tarikan pelancongan dan pendidikan, termasuk kaedah penglibatan pengunjung, reka bentuk pameran serta kerangka operasi. Delegasi juga meneliti amalan penyelenggaraan dan guna semula adaptif yang membolehkan kapal ini mengekalkan nilai sejarahnya sambil terus berfungsi sebagai aset pendidikan dan pelancongan.
Lawatan ini diharap dapat menyuluh sinar idea dan inspirasi kepada Kerajaan Negeri Perak menerusi MB Inc. Perak dalam membangunkan dan menambah baik sektor pelancongan bagi negeri Perak.