Kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad sekali lagi membuktikan keteguhan komitmen dalam memacu pembangunan negeri menerusi Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung di Casuarina Convention Centre, Meru.
Turut hadir ialah YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; para ketua jabatan negeri dan persekutuan; serta barisan pendidik, pelajar dan masyarakat setempat.
Genap memasuki tahun keempat pelaksanaannya, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad membentangkan pencapaian membanggakan yang melakarkan kejayaan signifikan dalam merealisasikan agenda pertumbuhan ekonomi negeri agar manfaatnya lebih dirasai rakyat, selari dengan tema majlis iaitu "Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina".
Keyakinan ini dipacu oleh hala tuju pembangunan yang jelas menerusi lima nod pertumbuhan strategik negeri, yang menjadi asas kepada penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan rantaian industri serta limpahan ekonomi kepada daerah-daerah di seluruh Perak.
Pencapaian dan keyakinan signifikan yang dibentangkan itu turut diperkukuh dengan kejayaan MB Inc. Perak, menerusi anak syarikat milik penuhnya Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML), menerima Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia, sekaligus meletakkan Negeri Perak di barisan hadapan revolusi mineral negara.
Pelan Perak Sejahtera 2030 akan terus menjadi kompas yang memandu perjalanan pembangunan negeri, bukan sekadar kekal sebagai dokumen perancangan, malah terus menjelma sebagai kerangka kerja yang hidup, dilaksanakan dan memberi makna kepada kemakmuran serta kesejahteraan rakyat.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak