YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad merasmikan Majlis Peluncuran SIHAT AI Smart Health Kiosk yang berlangsung di Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC), Meru, baru-baru ini.
Turut hadir ialah YB Ahli-Ahli Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pelaksanaan SIHAT AI Smart Health Kiosk merupakan projek rintis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan platform saringan kesihatan awal.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak Corporation Holdings dengan MB Inc. Perak dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, di samping Memorandum Perjanjian (MoA) bersama COEXRT AI.
Fasa awal pelaksanaan ini menumpukan kepada warga kerja sekitar Bangunan PTTC serta komuniti setempat, manakala Kerajaan Negeri turut merancang untuk memperluaskan pelaksanaan kiosk ini ke seluruh daerah secara berperingkat di lokasi strategik berkaitan.
Melalui inisiatif sebegini, Kerajaan Negeri bukan sahaja mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti, malah turut memperkukuh ekosistem kesihatan digital Negeri Perak ke arah yang lebih pintar, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.