DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad; YB Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak; serta para ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Sepanjang majlis berlangsung, DYMM Tuanku berkenan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran rasmi, sebelum berkenan melawat ruang pameran sambil berangkat menyantuni para anggota pasukan 69 Komando.
Kem yang berkonsepkan dwi-fungsi ini menggabungkan pusat pentadbiran dan latihan, di samping dilengkapi pelbagai prasarana moden bertaraf dunia bagi memenuhi keperluan operasi dan latihan pasukan 69 Komando.
Antara kemudahan yang disediakan ialah Kompleks Latihan Para, fasiliti latihan payung terjun, Close Quarter Battle (CQB) House, lapang sasar tertutup, serta lapang sasar jarak dekat dan sederhana sepanjang 1.2 kilometer, sekaligus menjadikannya lapang sasar terpanjang di Malaysia.
Semoga dengan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik ini, kesiapsiagaan Pasukan 69 Komando dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara dapat terus dipertingkatkan dengan penuh keberanian dan dedikasi.
Kredit Foto : Unit Komunikasi Pejabat YAB Menteri Besar Perak